Thursday, September 29, 2011

Nik Aziz: ‘Saya jamin hudud tidak libatkan bukan Islam’


The Malaysian Insider) - Dilihat sebagai usaha berterusan mahu meyakinkan bukan Muslim, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini memberi “jaminan” undang-undang hudud jika dilaksanakan tidak akan dikuatkuasakan ke atas bukan Islam.

Mursyidul Am PAS ini berkata undang-undang itu yang diusahakan sejak 17 tahun lalu untuk dilaksanakan di Kelantan hanya meliputi masyarakat Islam.

“Saya memberi jaminan jika hukum hudud dilaksanakan di Kelantan, ia tidak akan dikuatkuasakan ke atas bukan Islam sebab hanya meliputi umat Islam,” kata Nik Aziz dalam mesej menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Ia merupakan mesej ketiga daripada Nik Aziz sepanjang satu minggu ini, yang dilihat mahu meyakinkan bukan Islam mengenai hukum hudud.

Pendirian itu diketengahkan pada hari kepimpinan Pakatan Rakyat bersiap sedia untuk mengadakan mesyuarat berhubung isu tersebut selepas DAP dan PAS bertembung dan bertegas dengan pendirian masing-masing.

Mesyuarat Pakatan Rakyat akan berlangsung di ibu pejabat PAS di sini, malam ini.

Pada 24 September lalu, Nik Aziz meminta bukan Muslim memberi pandangan jujur sama ada mereka akan bersetuju jika undang-undang itu dilaksanakan.

“Perbincangan terbuka, kepada rakan-rakan bukan Islam yang dihormati, adakah anda akan bersetuju jika hukumam hudud dilaksanakan?

“Sila berikan pandangan anda mengenai perkara ini, tanpa prejudis, sentimen politik dan emosi,” kata Menteri Besar Kelantan dalam mesej terdahulu.

Kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS berusaha untuk melaksanakan undang-undang ini sejak awal 1990-an tetapi tersekat ekoran amaran kerajaan pusat yang disampaikan pada 1994 ketika pentadbiran Mahathir.

0 comments:

Post a Comment